• Besarkan saiz font
  • Default saiz font
  • Kurangkan saiz font

Maklumat Permata Pintar 2012

E-mail Cetak PDF

Sumber Bahan : http://www.permatapintar.edu.my/default.ukm1.aspx

Ujian UKM1 adalah ujian IQ berbentuk ujian dalam talian yang boleh dicapai melalui lawan web ukm1.permatapintar.edu.my. Ujian ini mengukur kebolehan verbal melalui pembendaharaan kata dan penaakulan (reasoning) secara logikal. Ia dibina oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ujian saringan pertama PERMATApintar UKM1 ini adalah dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Ujian UKM1 merupakan saringan pertama untuk pelajar menyertai program-program :

1. Perkhemahan Cuti Sekolah UKM-JHU pada Nov-Dis 2012 (3 minggu) di UKM (untuk pelajar berusia 9-15 tahun sahaja)
2. Program PERMATA Insan 2012 yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (untuk pelajar beragama Islam berusia 8 tahun sahaja)
3. Program Pendidikan PERMATApintar (PPPP) iaitu sekolah khas pintar (untuk pelajar tingkatan 3 pada tahun 2012 yang akan memasuki tingkatan 4 dalam PPPP pada tahun 2013)
Ujian UKM1 dibangunkan dan dilaksanakan secara dalam talian berasaskan web agar proses pencarian pelajar pintar berbakat dapat dilakukan secara menyeluruh dalam masa yang terhad dan tidak melibatkan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan ujian bertulis. Dengan itu, ujian ini tidak dijalankan secara bertulis (kertas dan pensil). Selain itu, ujian dalam talian ini dilaksanakan untuk membudayakan ICT dalam kalangan pelajar sekolah.

Untuk tahun 2012, ujian ini boleh diambil dalam tempoh 3 bulan bermula 1 Feb 2012 dan berakhir 30 April 2012. Pelajar tidak dikenakan bayaran untuk mengambil ujian ini. Tiada sekatan atau birokrasi untuk pelajar mengambil ujian sama ada di rumah, di sekolah atau di mana sahaja asalkan boleh mencapai laman web ini.

Ujian ini digunakan untuk mengesan pelajar pintar berbakat di Malaysia seramai yang mungkin dan meliputi seluruh negara supaya prinsip “no child is left behind” dalam pencarian ini dapat didokong dengan sempurna. Oleh sebab itu, pihak sekolah, ibu bapa dan kaum kerabat serta masyarakat Malaysia perlu menggalakkan pelajar-pelajar mengambil ujian dalam talian ini. Jika tiada kemudahan kemudahan Internet, pihak-pihak yang prihatin perlu membantu membawa pelajar ke pusat-pusat komuniti di desa yang ada kemudahan Internet atau ke kafe siber dalam daerah masing-masing. Bagi pelajar yang telah mengambil ujian ini pada tahun 2009, 2010 dan 2011, mereka perlu mengambil ujian ini untuk mengikuti program-program pada tahun 2012. Pelajar akan dipilih berdasarkan skor kelayakan mengikut peringkat umur dan tiada sistem kuota dari segi jantina, bangsa, daerah, negeri dan jenis sekolah digunakan dalam pemilihan pelajar.

Untuk menggunakan ujian saringan peringkat pertama ini, pelajar hanya perlu tahu perkara-perkara asas penggunaan komputer seperti: menggunakan tetikus dan papan kekunci. Oleh kerana ujian ini adalah terbuka dan tanpa pengawasan, perlu diingatkan bahawa pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain atau membuat rujukan semasa mengambil ujian saringan ini. Ibu bapa atau orang dewasa yang lain perlu menanamkan nilai murni KEJUJURAN kepada pelajar-pelajar ini. Setiap pelajar hanya dibenarkan mengambil ujian saringan ini sekali sahaja. Pelajar akan diminta memasukkan biodata mereka secara jujur sebelum memulakan ujian saringan ini. Maklumat ini akan digunakan untuk menghubungi pelajar, sekolah dan ibubapa jika sekiranya terpilih mengikuti saringan ujian UKM2 dan USIM-1 dan program-program yang ditawarkan.

Ujian saringan pertama ini sepatutnya diambil oleh pelajar tanpa persediaan dari segi latihan tentang ujian tersebut sebagaimana dengan peperiksaan di sekolah kerana pihak PERMATApintar dan PERMATA Insan ingin mengesan pelajar pintar berbakat semula jadi (nature) dan dikembangkan (nurture) bakat mereka melalui program PERMATApintar dan PERMATA Insan. Dengan itu, ibu bapa, guru dan kaum kerabat tidak perlu membantu pelajar untuk menjawab soalan dalam ujian ini semata-mata untuk terpilih dalam program-program yang disediakan. Orang dewasa yang terlalu mengharapkan pelajar-pelajar ini memasuki program dengan membantu pelajar perlu sedar bahawa pelajar akan mengalami tekanan emosi dan mental semasa mengikut program kerana tahap kemampuan mereka bukan yang sebenar tetapi dilakukan dengan bantuan orang dewasa. Dengan itu, ia bukan sahaja menyulitkan pelajar, malah pihak pengurusan dan tenaga pengajar juga turut mendapat kesusahan kerana terpaksa berhadapan dengan pelajar yang tidak berkemampuan untuk mengikuti modul-modul yang kami sediakan yang mencabar minda pelajar.

Sumber Bahan : http://www.permatapintar.edu.my/default.ukm1.aspx